Friday 29 August 2014

Hari Ketiga Ekspedisi Sabah Merdeka Day Walk

Tuaran, 29 Ogos 2014 - Program Ekspedisi Sabah Merdeka Day ini yang sudah memasuki Hari Ketiga telah menemukan kedua-dua Kumpulan Ekspedisi dari Kudat dan Ranau di Restoran Singgah Singarung, Tuaran yang menjadi tempat perhentian rehat sebelum menyambung semula perjalanan ke Padang Merdeka pada 30 Ogos pagi ini.

Sepanjang Program Ekspedisi Sabah Merdeka Day ini berlangsung, sambutan dan sokongan dikalangan rakyat Negara Sabah kian bertambah hangat sama ada didalam mahupun diluar negara seperti di Malaya, Singapura, Brunei, Australia dan juga di London. Sentimen dan kehangatan untuk merayakan Hari Kebangsaan Negara Sabah juga dapat dilihat melalui komen dan gambar yang telah diposkan didalam sebuah Page Facebook milik Media EksMerd yang diwujudkan khasnya untuk Program ini.

Sentimen dan serta kegembiraan ini juga dikongsikan oleh rakyat Negara Sarawak. Dalam beberapa komen yang telah diposkan didalam Page Facebook Ekspedisi Sabah Merdeka Day oleh rakyat Negara Sarawak, mereka telah mengatakan bahawa kami amat kagum dengan semangat yang telah ditunjukkan oleh rakyat Negara Sabah dan seorang rakyat daripada Negara Sabah telah membalas komennya dengan mengatakan  sesungguhnya semangat ini sebenarnya telah diperolehi daripada Sarawak melalui Program Hari Kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 2014 di Kuching dan Miri.

Selepas dua buah kumpulan Ekspedisi Sabah Merdeka Day ini daripada Kudat dan Ranau telah sampai di tempat Perhentian Rehat di Tuaran, pihak Media EksMerd telah menghubungi mereka. Berdasarkan kepada perkongsian cerita daripada kumpulan Kudat, En.Tony Minggir yang merupakan ketua kumpulan mengatakan bahawa kumpulan mereka telah dilepaskan oleh Datuk Ismail Gimbad pada jam 8 pagi. Beliau menyampaikan pesan kepada mereka bahawa beliau amat menaruh harapan yang tinggi kepada generasi sekarang untuk menyelamatkan Kerajaan Negara Sabah daripada pengaruh politik luar agar masa depan generasi-generasi muda akan lebih terjamin dan cerah. Mesej beliau ini disampaikan dalam keadaan yang sayu kerana beliau berharap sangat untuk melihat kejayaan tersebut termakbul sebelum beliau menghembus nafasnya yang terakhir. Umur beliau kini sudah mencecah 75 tahun, katanya.

Apabila ditanya tentang suasana dan keadaan disepanjang perjalanan mereka dariapda Kota Belud sehingga ke Tuaran, En.Tony Minggir mengatakan bahawa keadaan dan suasana tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ini kerana menurut beliau, kereta yang lalu lalang tidak pernah berhenti-henti untuk membunyikan "hon" kereta sebagai tanda sokongan sambil menjerit memberikan kata-kata motivasi.

Selain itu, mereka juga telah diberikan sumbangan berbentuk kewangan oleh sebuah kereta sebanyak RM50 untuk digunakan sebagai perbelanjaan makanan. Beliau juga mengatakan bahawa ada sebuah kereta lagi yang telah berhenti memberikan bekalan makanan "Tapau" khas untuk kumpulan mereka. Perkara-perkara  yang telah berlaku sepanjang perjalanan mereka ini telah membuatkan hati dan perasaan mereka sangat terharu kerana sokongan rakyat Negara Sabah dapat dilihat dan dirasai sendiri melalui sumbangan ikhlas ini, katanya.

Untuk kumpulan Ekspedisi Sabah Merdeka Day Ranau ataupun Sumondot Merdeka Ranau, ketua kumpulannya iaitu En.Jalibin Paidi mengatakan bahawa kumpulan mereka terpaksa bertolak awal daripada Kg.Bongol setelah mengambil kira masa perjalanan yang diperlukan untuk sampai ke Berungis, Tuaran. Ketua Kg.Bongol, katanya ingin melepaskan mereka pada jam 9.30 pagi tetapi tidak dapat ditunaikan atas faktor masa. Kumpulan mereka amat berterima kasih atas sambutan dan layanan yang diberikan oleh penduduk kampung Bongol yang mesra dan teruja dengan semangat mereka.

Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi seterusnya, beliau mengatakan bahawa keadaan semakin bertambah meriah. Ini kerana orang-orang kampung yang berumah di tepian jalan telah keluar daripada rumah semata-mata untuk melambai dan memberikan sokongan moral kepada mereka. Bunyi "hon" kereta yang panjang berkali-kali setiap kereta yang lalu dan jeritan "Sabah Negara Merdeka" membuatkan mereka tersenyum.

Tambahannya lagi, terdapat empat buah kereta telah berhenti dalam masa yang berlainan untuk memberikan sumbangan kewangan sebanyak RM50 dan RM100 sebagai kegunaan perbelanjaan makanan. Beliau berasa  sangat terharu dengan sikap dan sokongan yang ditunjukkan sesungguhnya inilah keistimewaan yang dimiliki oleh orang kita, orang Sabah, katanya.

Apabila ditanya apakah perkara yang menarik sepanjang perjalanan untuk hari ketiga ini, beliau mengatakan bahawa perkara yang menarik ialah semasa mereka melalui Jambatan Gantung di Tamparuli yang mana mereka telah menyanyikan lagu "Jambatan Tamparuli" beramai-ramai dan berteriak dengan laungan "Merdeka". Sesungguhnya satu pengalaman yang sangat-sangat melucukan, katanya sambil ketawa.

Dalam perbualan pihak Media EksMerd bersama dengan En.Jalibin Paidi juga, beliau mengatakan bahawa program esok iaitu 30 Ogos ini, bakal menyaksikan YB.Datuk Dr.Jeffrey G.Kitingan dan Datuk H.Kelakau Unto akan bersama-sama dengan mereka berjalan kaki menuju ke Padang Merdeka. Ekspedisi Sabah  Merdeka Day tersebut akan dilepaskan oleh YB. Panglima Wilfred Bumburing.

Laporan Berita disediakan oleh Media EksMerd

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...