Tuesday 26 August 2014

Ekspedisi Sabah Merdeka Day Bermula

Kota Kinabalu, 26 Ogos 2014 - Satu mesyuarat terakhir daripada Core Committee Sabah Merdeka Day yang ditaja oleh Borneo Heritage Foundation (BHF) telah memutuskan bahawa akan terdapat satu Program Ekspedisi Sabah Merdeka Day (berjalan kaki) bakal dilancarkan pagi esok.

En.Jalumin Bayogah yang merupakan Pengerusi Penganjur Core Committee Sabah Merdeka Day berkata, akan terdapat tiga (3) daerah yang menjadi tempat permulaan acara Ekspedisi Sabah Merdeka Day. Daerah-daerah tersebut yang dimaksudkan adalah daearah Kudat, Ranau dan Keningau. Menurut beliau, acara bermula dalam sekitar jam 8 pagi. Tetapi untuk daerah Keningau, ia akan bermula pada 28 Ogos, sehari lewat daripada Kudat dan Ranau atas faktor jarak yang dekat jika dibandingkan dengan kedua-dua daerah tersebut.

Menurut beliau lagi, untuk daerah Kudat, Ekspedisi Sabah Merdeka Day akan dirasmikan oleh Datuk H Kalakau Unto sebagai simbolik bermulanya acara Ekspedisi Sabah Merdeka Day dengan berjalan kaki daripada Kudat ke Kota Kinabalu. Manakala untuk daerah Ranau pula, ia akan dirasmikan oleh YB.Datuk Dr.Jeffrey G.Kitingan.

Mengulas dengan lebih lanjut mengenai Program Ekspedisi ini, Pengerusi Penganjur menerangkan bahawa tiga (3) daerah ini akan diketuai oleh 3 orang ketua iaitu untuk Kudat, En.Tony Minggir. Ranau akan diketuai oleh En.Jalibin Paidi manakala untuk Keningau pula, ia akan diketuai oleh En.Melvin Jaikul.

Perjalanan ini dijangka akan mengambil masa selama empat (4) hari sebelum tiba di Bandaraya Kota Kinabalu pada 31 Ogos berdasarkan kepada perancangan lokasi perhentian rehat.

Kumpulan yang diketuai oleh En.Tony Minggir akan berkumpul di Dataran Sidik, Kudat dan akan bergerak sebaik sahaja dirasmikan. Pergerakan tersebut akan membuat perhentian di Pekan Sikuati dan seterusnya di Matunggong. Terdapat aktiviti Himpunan Aman Merdeka akan berlangsung pada sekitar jam 12 tengah hari di Matunggong sebaik sahaja ketibaan kumpulan daripada Pekan Sikuati. Selepas itu, kumpulan ini akan bergerak ke Langkun yang merupakan titik pertemuan jalan ke Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud. terdapat peserta-peserta tambahan daripada Kota Marudu dan Kota Belud juga akan turut serta dalam  ekspedisi ini. Daripada Kota Belud, kumpulan ini akan bergerak ke Tenggilan dan berhenti di Berunggis untuk menantikan kumpulan daripada Ranau. Difahamkan terdapat 40 orang peserta daripada kumpulan ini

En.Jalibin Paidi yang mengetuai kumpulan daripada Ranau terdiri daripada 50 orang peserta pula akan bergerak daripada Pekan Ranau ke Restoran Bambu yang terletak selepas Bundu Tuhan untuk membuat perhentian rehat. Perjalanan tersebut akan bersambung semula pada hari yang berikutnya ke Kg.Bongol dan seterusnya akan bertemu dengan kumpulan dari Kudat pada keesokannya pada malam ketiga di Berungis, Tuaran.

Pada 30 Ogos, kedua-dua kumpulan ini akan bergabung dengan peserta-peserta daripada Tuaran dan Tamparuli untuk membuat pergerakan Ekspedisi Sabah Merdeka Day bersama-sama dan akan berhenti untuk bermalam di Dataran Merdeka Bandaraya Kota Kinabalu.

Manakala kumpulan daripada Keningau yang akan diketuai oleh En.Melvin Jaikul akan bertolak ke daerah Tambunan dan bermalam untuk perhentian rehat. Keesokan harinya, terdapat peserta-peserta daripada  Tambunan akan menyertai kumpulan tersebut dan kumpulan ini akan bergerak ke Penampang. Penambahan peserta daripada Penampang dijangka akan ada dan seterusnya mereka menyambung semula ekspedisi ke Dataran Merdeka untuk bergabung dengan peserta-peserta daripada Kudat, Ranau, Kota Marudu, Kota Belud, Tamparuli dan Tuaran.

Kumpulan Ekspedisi Sabah Merdeka Day ini akan bergerak seawal 7 pagi pada 31 Ogos 2014 daripada Dataran Merdeka Kota Kinabalu sehingga ke Dewan Tg.Aru dengan jumlah peserta tidak kurang dariapda 100 orang yang mana jangkaan ketibaan mereka ini adalah dalam sekitar jam 9 pagi. Upacara menaikkan bendera Kebangsaan Negara Sabah akan berlangsung sebaik sahaja ketibaan peserta-peserta tersebut sebagai tanda memperingati detik-detik bersejarah yang mana bendera British telah diturunkan dan bendera Kebangsaan Negara Sabah untuk pertama kalinya dikibarkan di udara Negara Di Bawah Bayu serta mainan lagu Kebangsaan Sabah Tanah Airku juga akan didendangkan serta dinyayikan sebagai tanda penghormatan kepada Bangsa dan Negara Sabah yang Merdeka serta Berdaulat.

Selepas itu, program ini akan disambung di Pantai Tg.Aru II yang mana mesej ucapan Hari Kemerdekaan Negara Sabah akan disampaikan oleh YB.Datuk Dr.Jeffrey G.Kitingan dan YB. Panglima Datuk Wilfred Bumburing. 

Upacara pemberian sijil akan berlangsung sebagai tanda penghargaan kepada peserta-peserta Ekspedisi Sabah Merdeka Day kerana telah mencatatkan satu sejarah yang baru yang belum pernah dilakukan di bumi Sabah yang bertuah ini.

YB.Datuk Dr.Jeffrey G.Kitingan juga akan melancarkan Perasmian menyeluruh Program Ekspedisi Sabah Merdeka Day yang bakal digerakkan ke seluruh pelusuk Tanah Air Negara Sabah sebagai usaha untuk mendidik Bangsa Negara Sabah tentang fakta dan kebenaran sejarah yang selama ini disembunyikan dan dipesongkan.

Pihak Pengerusi Penganjur mengatakan bahawa Program seumpama ini sangat penting khususnya kepada Generasi Muda Negara Sabah kerana ia bertujuan untuk menyemai semangat Patrioritik kepada Tanah Air, Sabah. Selain itu juga, ia adalah untuk memperbetulkan tanggapan yang salah tentang status Sabah yang sebenarnya merupakan Rakan Kongsi dalam Persekutuan Malaysia. 

Ini menurut beliau lagi, Sabah adalah sebuah Negara yang bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Malah, beliau menegaskan bahawa adalah menjadi satu kewajipan dan tanggungjawab mutlak kepada generasi-generasi yang lahir pada sekitar 60an sehingga 80an untuk mengajar fakta sejarah yang tepat dan sahih. Ini kerana, bangsa yang tidak mengetahui sejarah sebenar negaranya akan kehilangan identiti yang sebenar. Justeru, ini akan membuatkan jaminan masa depan generasi akan berada dalam keadaan yang  menyedihkan. Maka dengan itu, selamatkan masa depan mereka melalui aktiviti kesedaran seumpama ini agar mereka tidak akan menuding jari kearah kubur generasi lalu kerana tidak berbuat sesuatu yang baik untuk mereka.


Beliau juga menjemput dan menggalakkan penyertaan mana-mana generasi muda Negara Sabah yang ingin menyertai Ekspedisi Sabah Merdeka Day sepanjang program ini berlangsung kerana Program Ekspedisi ini sebenarnya adalah ditujukan dan dibawakan khas untuk mereka, Generasi Muda Negara Sabah.


Laporan berita disediakann oleh Media EksMerd.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...